Mayat tidak dikenal pasti ditemukan di tepi sungai berhampiran Taylor’s College, Bandar Sunway. - Gambar ihsan PDRM.

SUBANG JAYA –  Polis sedang menyiasat penemuan mayat di tepi sungai berhampiran Taylor’s College, Bandar Sunway  malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat tersebut daripada orang awam sekitar pukul 7.10 malam.

Menurutnya, mayat itu ditemui dalam keadaan yang hanya memakai seluar panjang dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaan fizikalnya.

“Identiti serta bangsa si mati belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai. Pemeriksaan fizikal juga tidak dapat dijalankan di tempat kejadian berikutan keadaan mayat yang tidak sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Wan Azlan, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat dalam mengenal pasti punca kematian dan identiti mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) buat masa ini sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan siasatan lanjut pihak polis,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menguhubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-56212222 atau IPD Subang Jaya di talian 03-78627222. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast