KUALA LUMPUR – Penampilan ramai calon generasi muda yang mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah bukan sekadar perubahan wajah politik tetapi gelombang baharu yang menandakan perubahan struktur dalam pembentukan kepimpinan negeri.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, dari perspektif sains sosial dan politik, penyertaan besar golongan muda dalam gelanggang pilihan raya itu adalah isyarat jelas Sabah sedang bergerak menuju political generational shift.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sg. Sibuga menambah, peralihan generasi bukan sahaja mengubah gaya kepimpinan tetapi juga cara dasar dirangka dan dilaksanakan.
“Kajian-kajian sosial menunjukkan bahawa kelompok muda yang berpendidikan tinggi lazimnya membawa pendekatan pentadbiran berasaskan data, penyelesaian praktikal dan keberanian mencabar status quo apabila perlu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran, ramai dalam kalangan calon muda BN pada PRN-17 Sabah memiliki kelulusan profesional, pengalaman industri dan pendedahan global.
Ia bermakna mereka tidak hanya memahami realiti semasa, tetapi juga mempunyai kapasiti intelektual untuk menilai isu Sabah dengan kerangka yang lebih strategik merentas sektor ekonomi, pengurusan sumber manusia, perancangan bandar, peralihan digital dan pembangunan wilayah.
Malah, ujar belilau, anak muda itu bukan sahaja akan menjadi jurucakap kepada suara generasi mereka, tetapi juga bakal menjadi pembuat dasar yang mampu merangka polisi berpaksikan bukti (evidence-based policy making).
“Pendekatan ini penting bagi memastikan Sabah tidak lagi terperangkap dalam kitaran idea lama tetapi berani melangkah ke fasa pentadbiran moden yang lebih cekap, berintegriti dan responsif kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau melahirkan keyakinan dengan latar belakang akademik yang kukuh dan idealisme segar, barisan calon muda BN akan menjadi aset utama dalam mempertingkatkan keupayaan kerajaan negeri Sabah untuk bergerak ke hadapan.
Katanya, calon anak muda BN itu membawa sinergi antara pengalaman politik dan pengetahuan teknokratik iaitu kombinasi yang diperlukan untuk menghadapi cabaran ekonomi baharu, tuntutan autonomi negeri dan aspirasi pembangunan jangka panjang.
“Saya menyeru rakyat Sabah untuk melihat gelombang baharu ini sebagai peluang pembaharuan.
“BN komited untuk mengetengahkan calon yang bukan sahaja layak, tetapi juga mempunyai visi intelektual dan integriti untuk membina masa depan Sabah yang lebih cerah,” katanya. – MalaysiaGazette
















