Pesawat MiG-31. Foto: Facebook

MOSCOW – Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) mendakwa berjaya mematahkan rancangan Perkhidmatan Perisikan Ukraine yang bekerjasama dengan British sebagai penyelaras untuk merampas pesawat pejuang, MiG-31 milik Rusia yang dilengkapi dengan peluru berpandu hipersonik Kinzhal.

Menurut FSB, operasi perisikan Ukraine cuba merekrut juruterbang Rusia dengan menawarkan AS$3 juta sebagai pertukaran menerbangkan pesawat itu ke lokasi yang sejajar dengan negara Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO).

“Perkhidmatan perisikan (Ukraine) seterusnya merancang menghantar sebuah pesawat dengan peluru berpandu Kinzhal ke kawasan yang menempatkan pengkalan udara terbesar NATO di tenggara Eropah, terletak di Constanta di Romania, di mana ia boleh menembak jatuh sistem pertahanan udara,” tambahnya.

Seorang pegawai FSB mendedahkan bahawa kumpulan wartawan penyiasatan berpengkalan di Belanda, Bellingcat, turut memainkan peranan dalam operasi tersebut.

Kumpulan tersebut didakwa bertindak sebagai perantara dalam usaha merekrut itu.

“Ketika menghubungi komander pesawat, perisikan menggunakan organisasi wartawan ang telah dikenali sebagai Bellingcat,” ujar pegawai itu kepada penyiar, Rossiya 24.

Terdahulu, FSB menyartakan bahawa cubaan merampas pesawat itu merupakan sebahagian operasi perisikan lebih meluas yang direncanakan oleh Ukraine dan Barat, khususnya United Kingdom (UK).

Pada hari sama pada tahun lalu, FSB mengumumkan bahawa ia menggagalkan rancangan perisikan tentera Ukraine untuk merampas sebuah helicopter tempur angkatan aeroangkasa Rusia.

“Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan menemui dan menggagalkan operasi Direktorat Perisikan Utama Kementerian Pertahanan Ukraine untuk merampas sebuah helikopter tempur elektronik, Mi-8MTPR-1, milik angkatan aeroangkasa Rusia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, para pegawai perisikan tentera Ukraine cuba merekrut seorang juruterbang Rusia untuk merampas pesawat tersebut dan menghantarnya di wilayah yang dikuasai tentera Ukraine.

Menurut FSB, maklumat telah dikumpulkan perisik yang mengganggu operasi Kiev bagi membolehkan tentera Rusia menyasarkan kedudukan pertahanan tentera udara dan darat Ukraine dengan lebih berkesan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast