Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 11 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak pernah mengelak daripada menjawab soalan yang dibangkitkan ahli-ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.

Anwar melahirkan rasa kesal apabila dituduh berbuat demikian sedangkan beliau berulang kali menjawab soalan pembangkang khususnya berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).

“Soalan yang dibangkitkan semua saya jawab, kalau soalan saya telah jawab, dua kali dan menteri sudah jawab, itu ditanya, kita jawab begitu juga.

“Itulah sebabnya saya setuju dengan Tan Sri Yang Dipertua. Nak mengatakan elak, saya tidak elak, tanyalah soalan. Saya tidak elak, dengar (ahli Parlimen) Kota Bharu, saya tidak akan elak jawab soalan.

“Kalau kita sudah jawab, baca sampai peruntukan-peruntukan perjanjian itu, 5.2, 7.3, saya baca, di medan ini (Dewan Rakyat), kalau dia tidak hadir atau tidak dengar, soal lain,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bangkit dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 24(A) berhubung dengan waktu pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Takiyuddin kesal apabila satu soalan daripada pembangkang tidak disenaraikan dalam Aturan Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat bagi sesi pertanyaan menteri daripada Perdana Menteri.

“Hari ini ada dua soalan, kedua-dua soalan daripada pihak kerajaan, tidak ada soalan daripada pembangkang, nak ambil dua, ambil lah, bagi satu kepada pembangkang kerana pembangkang masih wujud dalam Parlimen ini, ketua majlis pun ada.

“Saya nak menarik perhatian Tan Sri dan Perdana Menteri, pembangkang bukan kali pertama, pada 30 Oktober kita hantar soalan, satu pun tak naik, kemudian pada 4 November, minggu lepas tak naik satu pun 11 November pun tak naik.

“Untuk rekod pada hari ini Yang Berhormat Putrajaya telah mengemuka dan memasukkan soalan melalui Yang Berusaha Setiausaha Dewan Rakyat pada 10 November tapi tak naik.

“Kami tidak fikir Yang Amat Berhormat Perdana Menteri seorang yang tak mampu jawab soalan, di Sabah pun, di pasar malam pun boleh jawab, jangan dengar pembangkang.

“Jadi hari ini nampaknya Yang Amat Berhormat (Ahli Parlimen) Tambun tak nak dengar daripada kita ini,” kata Takiyuddin lagi.

Selepas itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan pemilihan soalan-soalan adalah tanggungjawabnya dan di mana sehingga ini, hanya satu soalan daripada pembangkang manakala pihak kerajaan telah memberikan lapan soalan.

“Sudah tentu saya sudah lihat semua soalan itu dan saya lihat soalan daripada pembangkang semuanya telah dijawab sebenarnya.

“Pertama, pada 29 Oktober, kedua 30 Oktober dan Insya-Allah pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas telahpun memanggil Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk berhadapan dengan mereka.

“Jawatankuasa itu saya difahamkan semua KSU dan mereka terlibat akan datang esok pada 12 November 2025.

“Sebab itu untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih terperinci, lebih baik select committee, jadi PM sudah jawab banyak kali, kalau jawapan PM saya sudah boleh agak apa ayat itu, lebih baik tuan-tuan yang berada dalam dewan ini pergi ke select committee dengar,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat juga berang apabila Takiyuddin mengatakan Ahli Parlimen Kota Bharu itu mempunyai hak menghantar sama ada satu mahupun lapan soalan sedangkan Johari menegaskan pembangkang hanya ada hak dilayan secara adil.

“Awak (Takiyuddin) tiada hak, hanya saya sahaja ada hak, saya yang akan memilih (soalan), awak tiada hak.

“Layanan adil iya, bukan hak, lain kali tolong hantarlah, jangan ikat tangan saya, hantarlah dua tiga soalan, berlaku adil kepada saya, jangan letak saya sampai tak boleh buat keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast