Ayu Damit akan menunai umrah DIY kali kedua lagi pada bulan depan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Ayu Damit mengakui kini lebih selesa memilih menunai umrah secara Do It Yourself (DIY) selepas melalui pengalaman pertama pada tahun lalu.

Pelantun lagu Hanya Di Mercu itu yang akan menunai umrah DIY kali kedua pada bulan depan berkata, banyak kelebihan dapat dinikmatinya kerana dia boleh merancang jadual sendiri.

Pada masa sama, masa yang lebih fleksibel membolehkan dirinya melakukan lebih banyak ibadah sebab tidak terikat dengan jadual yang ditetapkan.

“Selain itu, kos yang lebih jimat dari menggunakan agensi umrah turut menarik minat saya kerana hanya berharga RM3,500 seorang walaupun tanpa pakej makan dan minum.

“Namun bagi saya, ia tiada masalah kerana saya boleh memilih hotel dan restoran mengikut bajet yang saya ada di Tanah Suci,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Umrah DIY bermaksud menunaikan ibadah umrah dengan merancang dan menguruskan perjalanan sendiri tanpa bantuan agensi pelancongan yang merangkumi tempahan tiket penerbangan, penginapan, visa dan pengangkutan di Arab Saudi.

Ayu kali pertama menunaikan umrah DIY adalah pada tahun lalu selepas diperkenalkan sahabatnya yang usahawan pelancongan Datin Aisyah Ghazali (kanan).

Ayu, 36, memberitahu, kali pertama memilih menunaikan umrah DIY adalah pada tahun lalu selepas diperkenalkan sahabatnya yang usahawan pelancongan Datin Aisyah Ghazali merangkap Pengurus Perhubungan Awam di Izz Ikhwan Travel Empire.

Katanya, mereka pergi ke Tanah Suci secara berkumpulan kerana harganya lebih murah berbanding menggunakan ejen di agensi umrah.

“Menjadu  ‘tetamu Allah’ di Mekah adalah impian setiap umat Islam. Namun tidak semua orang berpeluang ke sana jika belum sampai ‘serunya’ termasuklah faktor  kewangan yang belum mencukupi.

“Bagi saya, umrah DIY ini satu peluang yang sangat bagus buat mereka yang tidak cukup wang tapi mahu menunaikan umrah. Dengan adanya umrah DIY, tiada alasan lagi untuk menjadi ‘tetamu Allah’ kerana kosnya lebih rendah,” katanya.

Namun kata Ayu, umrah DIY memerlukan persediaan awal dan rapi agar ibadah berjalan dengan lancar antaranya memastikan dokumen seperti pasport sah digunakan sekurang-kurangnya enam bulan, lengkapkan vaksinasi meningitis dan Covid-19 serta dapatkan Sijil Vaksin Antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast