KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga tempatan dicekup Pasukan Batalion Lapan Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana disyaki penagih dadah dalam Operasi Taring Wawasan Kelantan di Jalan Kampung Padang Mandol, Tumpat malam tadi.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 26 tahun itu ditahan antara pukul 11 hingga 11.30 malam selepas dilihat dalam keadaan yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan di tubuh badan kedua-dua suspek menemui 10 biji pil Epam dan sebiji Pil Yaba/Kuda bernilai RM165. Turut dirampas dua botol cecair disyaki air ketum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ijid Landu, suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -MalaysiaGazette
















