Lim Guan Eng

KUALAL LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini memadam beberapa perkataan dan ayat dalam lapan perenggan pernyataan saksi pegawai penyiasat kes rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang dihadapi bekas ketua menterinya, Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Guan Eng untuk memadam bahagian tertentu dalam lapan daripada 23 perenggan pernyataan saksi Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli.

Ahli Parlimen Bagan itu antara lain menegaskan, Zulhilmi yang ditugaskan menyiasat kes berkenaan memberikan keterangan bersifat berat sebelah selain ayat dan perkataan terbabit yang dimohon untuk dipadamkan itu hanyalah pendapat peribadinya.

Ayat dan perkataan yang dipadamkan itu terkandung dalam perenggan empat, perenggan enam, perenggan 44, perenggan 57, perenggan 74, perenggan 79, perenggan 85 dan perenggan 104.

“Mahkamah telah mendengar, meneliti dan menimbangkan segala hujahan berserta otoriti (prinsip undang-undang) yang telah dikemukakan kedua-dua pihak.

“Dengan itu, mahkamah berpuas hati dan memutuskan hanya sebahagian daripada (ayat dan perkataan) dalam pernyataan saksi terbabit dipadamkan. Perenggan selebihnya dikekalkan,” katanya.

Pada prosiding perbicaraan bulan lalu, Zulhilmi memberitahu mahkamah, Guan Eng memberikan jaminan kepada ahli perniagaan, mendiang Datuk Ewe Swee Kheng bahawa syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd (EZSB) miliknya akan mendapat tanah Lot 702 yang terletak di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Pinang untuk dibangunkan.

Beliau berkata, susulan jaminan terbabit, Swee Kheng membiayai syarikat Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG) sejak 2013 sedangkan tanah Lot 702 itu hanya dipindah milik kepada CZBUCG pada 2015.

Saksi itu berkata, berdasarkan perjanjian awal ditandatangani kerajaan negeri dan Pengerusi CZBUCG Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada 6 Oktober 2013, CZBUCG mengadakan kerjasama dengan EZSB untuk membangunkan tanah terbabit.

Katanya, siasatan menunjukkan Swee Kheng membiayai CZBUCG sejak 2013 sedangkan tanah hanya dipindah milik kepada CZBUCG pada 2015.

Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara  12.30 tengah malam dan 2 pagi, Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan kes di hadapan Azura bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast