SINTOK – “Sakit bukan alasan untuk berhenti berjuang.”
Itu semangat luar biasa ditunjukkan graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Fatini Alya Baharudin, 24, yang menamatkan pengajian walaupun kehilangan kelenjar air liur akibat kanser.
Menurut Fatini, dia disahkan menghidap kanser kelenjar air liur sejak 2021, ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjalani enam pusingan kemoterapi dan 30 sesi radioterapi di Hospital Pulau Pinang.
Katanya, dalam tempoh rawatan itu, keluarganya menyewa rumah berdekatan hospital bagi memudahkan urusan ulang-alik setiap hari.
“Walaupun tubuh lemah dan mulut perit selepas rawatan namun ia tidak menjadi alasan untuk saya berhenti belajar.
“Malah, saya sangat gembira sebab berjaya sampai ke tahap ini… walaupun ada banyak dugaan, terutama pada awal semester,” katanya pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-38, Sesi Kelima semalam.
Tambah Fatini, kejayaannya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.59 merupakan hadiah paling bermakna buat ibu bapanya yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sepanjang perjuangannya melawan penyakit.
“Setiap kali keputusan keluar, mereka (keluarga) menangis gembira. Saya bukan pelajar terbaik… tapi bagi mereka, saya tetap hebat kerana berjaya sampai ke tahap ini.
“Percaya pada doa, pada kasih keluarga, dan pada diri sendiri,” katanya sambil menambah bapanya merupakan seorang tukang gunting rambut manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan, turut mengajak seluruh dewan memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan kepada Fatini yang disifatkannya sebagai pejuang sejati.
“Saya mohon hadirin memberikan tepukan gemuruh sebagai sokongan kasih kepada Fatini Alya Baharudin,” katanya dalam ucapan beliau. – MalaysiaGazette














