Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menegaskan kerajaan Madani komited mempertahankan kebebasan media sebagai salah satu tunjang utama dalam sistem demokrasi negara.

Namun katanya, kebebasan itu mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan berpaksikan etika kewartawanan profesional.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad (BN–Simpang Renggam) di Dewan Rakyat hari ini mengenai langkah kerajaan mempertahankan imejnya daripada dakwaan tidak mampu mengawal media yang memburukkan pemimpin dan kerajaan.

Menurut Nie Ching, media memainkan peranan penting bukan sahaja dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, tetapi juga dalam menyampaikan maklumat yang sahih, seimbang dan tidak mengelirukan rakyat.

“Kerajaan tidak akan menafikan kebebasan media, namun kebebasan itu perlu dilaksanakan dengan tanggungjawab.

“Justeru, Majlis Media Malaysia (MMM) telah ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 [Akta 868], yang berkuat kuasa pada 14 Jun 2025, bagi memastikan standard kewartawanan yang beretika dan profesional,” katanya hari ini.

Beliau berkata, MMM telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 7 November lepas dengan 50 peratus daripada ahli majlis dilantik terdiri daripada wanita satu pencapaian penting dalam memperkukuh keterangkuman industri media negara.

“Menerusi AGM itu juga, Kod Tatakelakuan dan Mekanisme Aduan telah diluluskan dengan pindaan, menandakan langkah ke hadapan dalam membina ekosistem media yang lebih kukuh, beretika dan diyakini rakyat,” jelasnya.

Majlis itu berpegang kepada prinsip ‘of the media, by the media, for the media’, bukan sahaja sebagai pengawas etika kewartawanan, tetapi turut menyediakan mekanisme penyelesaian aduan terhadap media bagi melindungi masyarakat daripada laporan tidak bertanggungjawab.

Menjawab soalan tambahan oleh Ahmad Fadhli Shaari (PAS–Pasir Mas) mengenai laporan portal Malaysiakini yang didakwa menjejaskan imej kerajaan, Teo Nie Ching menjelaskan, kerajaan tidak akan memanggil mana-mana media hanya kerana tidak bersetuju dengan kandungannya.

“Dalam kerajaan ini, saya tidak akan panggil Malaysiakini untuk rekod kenyataan. Saya percaya, ada pihak di sana (pembangkang) yang mungkin akan menutup media seperti ini hanya kerana tidak sehaluan, tetapi Kerajaan Madani tidak begitu,” katanya.

Beliau menegaskan, sikap menghormati kebebasan media itulah yang membezakan kerajaan hari ini dengan pentadbiran lalu.

Nie Ching turut menyentuh isu akaun palsu dan laporan mengenai platform sosial Meta, menjelaskan syarikat itu telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan aktiviti luar biasa.

“Meta sudah menjelaskan tiada aktiviti luar biasa. Namun saya akui memang wujud banyak akaun palsu yang digunakan untuk mempromosikan penipuan (scam).

“Laporan Reuters juga menyatakan pada tahun 2024, sekitar 10 peratus keuntungan Meta datang daripada iklan yang dibayar oleh golongan penipu,” katanya.

Nie Ching menegaskan,  pendirian kerajaan yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  untuk menghormati kebebasan media dan tidak mengawal laporan walaupun tidak sependapat.

“Walaupun ada artikel yang kita tidak setuju, kita nyatakan pendirian kita. Tidak semestinya setiap kali tidak bersetuju, kita perlu memanggil media untuk rekod kenyataan mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast