PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah parti terbuka dan inklusif yang boleh menerima mana-mana individu menjadi calon pilihan raya walaupun baharu sehari menyertai parti itu.
Pengarah Pilihan Raya Bersama parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, mereka yang mengasaskan parti sejak sekian lama juga tidak pernah dipinggirkan kerana turut diberi peluang menjadi calon.
Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan, apa yang penting, sesiapa yang menjadi calon PKR itu adalah mereka memberi yang boleh memberi kemenangan kepada PH.
“Sebab Keadilan ini parti terbuka. Orang yang semalam belum masuk parti, hari ini masuk parti, terpilih jadi calon pun ada. Orang yang lama mengasaskan parti daripada mula-mula, terpilih jadi calon pun ada.
“Sifat parti Keadilan itu, parti terbuka. Parti yang inklusif, bukannya eksklusif. Jadi apabila menamakan calon, secara tentu Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya telah mengambil kira semua perkara ini.
“Yang mereka berikan pertimbangan adalah kebolehmenangan. Saya percaya mereka telah buat semakan semua perkara,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kecerdasan Buatan (AI) Transformasi Keselamatan 2025 di sini hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan 10 calon daripada parti yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah di mana tiga daripadanya ialah bekas ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru melompat masuk parti itu.
Antara calon yang mencuri perhatian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap iaitu Datuk Jamawi Jaafar Melalap yang merupakan kali keempat beliau menukar parti dalam tempoh tujuh tahun.
Beliau sebelum ini menjadi calon UMNO-Barisan Nasional bagi DUN Kemabong dan menang pada 2018 sebelum melompat ke parti Warisan dan kembali menjadi calon UMNO-BN bagi DUN Melalap pada 2020.
Pada 2022, Jamawi menjadi calon parti itu bagi Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Umum dan kalah dan keluar UMNO untuk menyertai Gabungan Rakyar Sabah (GRS).
Calon lain PKR yang turut dipersoalkan adalah anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman iaitu Datuk Yamani Hafez Musa yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.
Yamani merupakan bekas Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri Kewangan daripada parti UMNO dan Bersatu sebelum ini.
Seorang lagi bekas pemimpin GRS yang menjadi calon PKR adalah Datuk George Hiew Vun Zin di DUN Karamunting.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, menjadi lumrah dalam politik di negara ini di mana terdapat calon-calon yang sudah mempunyai rekod penyertaan pelbagai parti.
“Itu lumrah dalam politik kita. Presiden Pas, Burhanuddin Helmi, dia masuk tujuh parti. Cuba baca sejarah dia. Saya baca buku yang ditulis oleh seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang membuat tesis politik Burhanuddin Helmi.
“Rupanya dia pernah masuk tujuh parti dan dia menjadi Presiden Pas,” katanya. – MalaysiaGazette
















