SHAH ALAM – Rakyat Selangor sedang bertarung dengan tekanan kos sara hidup yang terus meningkat menerusi data menunjukkan kadar inflasi di negeri itu sebanyak 1.8 peratus iaitu lebih tinggi dari kadar inflasi nasional 1.5 peratus.
Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, senario itu pasti memberi kesan kepada kuasa beli rakyat dan malangnya program untuk membantu rakyat miskin adalah tidak signifikan dan tidak mampu menangani beban ekonomi rakyat yang semakin menekan di negeri itu.
Selangor juga telah mencatatkan Insiden Kemiskinan Mutlak sebanyak 1.5 peratus pada tahun 2022.
“Sekiranya kita lihat trend dalam Laporan Survei Pendapatan Dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, Selangor pastinya tidak akan mencapai sasaran asal 0.7 peratus pada tahun 2025 seperti dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) apatah lagi setelah diturunkan kepada 0.5 peratus dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) RS1 yang lalu.
“Ini ditambah lagi dengan jurang ekonomi antara bandar dengan luar bandar yang sangat ketara.
“Data menunjukkan rakyat di Sabak Bernam kekal antara yang paling rendah dengan pendapatan median sekitar RM6,941 sahaja, iaitu jauh berbeza berbanding rakyat di Sepang iaitu sebanyak RM11,131,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Faizuddin Zai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Bernam merangkap Pengerusi Lajnah Kerajaa Tempatan Dewan Pemuda Pas Selangor, Muizzuddeen Mahyuddin.
Sukri mendakwa, Kerajaan Selangor pada hari ini telah gagal membela nasib rakyat negeri itu.
Kegagalan itu dapat dilihat melalui perkembangan capaian RS-1)dan bajet tahunan sebelum ini.
“Ternyata, RS-1 ini hanyalah sekadar kosmetik dan janji yang akhirnya menyerlahkan kelemahan dan kegagalan kerajaan di bawah pemerintahan Menteri Besar Selangor,” katanya.
Beliau menambah, berdasarkan kajian daripada Khazanah Research Institute berlaku lambakan rumah berharga tinggi yang tidak mampu dibeli oleh rakyat di negeri Selangor.
“Kini, rakyat di Lembah Klang yang mana majoritinya adalah rakyat Selangor berhadapan dengan pilihan yang terhad untuk mereka membeli rumah mampu milik,” katanya. – MalaysiaGazette
















