Tertuduh jurugambar sambilan, Mohd Mukhairi Zakaria, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, bulan lalu.

MELAKA – Seorang jurugambar sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Mukhairi Zakaria, 38, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dengan cara meraba punggung mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di lif Tower 3, Apartment Prima Pokok Mangga, dalam daerah Melaka Tengah, pada kira-kira jam 1 petang, 31 Oktober 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan.

Tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa, melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu, serta menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Mohd Farid Abdul Aziz, bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan antara RM8,000 hingga RM10,000 dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai jurugambar sambilan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Tertuduh juga hujahnya, perlu menjaga ibunya berusia 76 tahun bersama abang yang hadir ke mahkamah sebagai penjamin.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Disember ini bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast