ALOR GAJAH – Seorang pelajar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai keluar simpang secara mengejut di Jalan Bukit Balai, Durian Tunggal, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun menunggang motosikal jenis Honda RS150R disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang dari arah pekan Durian Tunggal menuju ke Gangsa.

“Setibanya di lokasi, motosikal mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda dipandu lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai keluar simpang secara mengejut untuk membelok ke kanan.

“Akibatnya, berlaku pelanggaran dengan motosikal mangsa dari arah bertentangan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemandu serta dua penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menyeru mana-mana saksi bebas yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-2543 5507,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast