ISKANDAR PUTERI – Sebanyak RM22.6 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Johor 2025 bagi menaik taraf dan membina baharu sistem perparitan, longkang serta kolam tadahan di kawasan hotspot banjir.
Selain itu RM9.6 juta pula untuk pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) melibatkan kajian serta projek pengurangan risiko bencana tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor berkata, peruntukan besar itu di bagi menyelesaikan isu banjir di kawasan hotspot di seluruh negeri.
“Daripada 120 kawasan hotspot banjir yang dikenal pasti sejak tiga tahun lalu, sebanyak 100 kawasan telah berjaya diselesaikan.
“Baki 20 kawasan lagi di Johor Bahru, Kulai, Iskandar Puteri, Kluang, Pengerang dan Pasir Gudang akan diselesaikan menjelang suku keempat (Q4) tahun depan” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan Johor 2026 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Mohd Jafni berkata, beberapa kawasan di tengah bandar raya ini seperti Kampung Mohd Amin terjejas dengan banjir besar pada 2023 akan dapat diatasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
“Antara langkah penyelesaian yang diambil termasuk menaik taraf sistem perparitan, membina kolam takungan baharu, pembersihan parit monsun dan pemasangan pam air berkapasiti tinggi di kawasan rendah seperti Johor Bahru.
“Sebelum ini, Johor Bahru mempunyai lapan pam utama. Kini kita tambah empat lagi pam baharu lengkap dengan kemudahan mekanikal bernilai RM3.5 juta bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Kerajaan Johor katanya, bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka pada Disember ini berikutan musim monsun timur laut.
Mohd Jafni berkata, persiapan rapi telah dilaksanakan di semua peringkat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan dan pasukan penyelamat, bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar.
“Kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah mempengerusikan mesyuarat persiapan menghadapi banjir bersama semua jabatan dan agensi berkaitan.
“Dewan dan sekolah yang dikenal pasti sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) telah disemak semula, manakala peralatan dan kit bantuan untuk mangsa turut disediakan lebih awal,” katanya.- MalaysiaGazette
















