KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis susulan satu insiden keganasan rumah tangga yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan semalam pada jam 8.40 malam dan telah direman selama dua hari bermula hari ini.
Penahanan itu dibuat selepas polis mengesan video berdurasi 19 saat yang menunjukkan seorang wanita dipercayai terjun dari sebuah kereta yang masih bergerak di kawasan Lencongan Timur, Sungai Petani, Kedah.
“Pihak polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda mengesahkan insiden tersebut benar-benar berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi menyiasat kejadian terbabit. – MalaysiaGazette
















