KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mencadangkan supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya gerakan ‘payung Melayu’ berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.
Jelasnya, ‘payung Melayu’ itu termasuk parti-parti seperti Pas; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa parti kecil lain.
Namun, kata beliau, untuk menang, Dr. Mahathir mesti memberi pengampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan perlu menyatakan hasrat tersebut sekarang.
“Jika Dr. Mahathir sanggup mengampunkan Anwar pada tahun 2018, mengapa tidak Najib?
“Najib mungkin telah menyebabkan kerugian sebanyak AS$680 juta, tetapi tahukah kita berapa besar kerugian yang ditanggung negara di bawah PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim)?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Mohd Zaid, ini merupakan peluang terakhir untuk orang Melayu mendapatkan semula kuasa mentadbir negara dan memerintah dengan semangat kemerdekaan.
Ujar beliau, tiada gunanya bertegas negara ini harus dikenali sebagai Tanah Melayu sedangkan pemimpin Melayu sendiri telah menyerahkan segala-galanya kepada kuasa di dalam dan luar negara tanpa sebarang perjuangan.
“Walau apa pun kelemahannya, Tun (Dr. Mahathir) masih seorang pejuang sejati; sumbangannya kepada negara tiada tandingan sejak dahulu. Beliau mampu membina semula negara ini.
“Saya merayu kepada Tuan Guru (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Muhyiddin (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) agar memberikan Tun satu lagi peluang, supaya kita semua mempunyai masa depan,” katanya.
Sebelum ini, Dr. Mahathir mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.
Menurutnya, gerakan yang tidak bermotifkan politik itu bertujuan menjadi wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan hari ini.
Jelas beliau, gerakan atau sekretariat itu juga bertujuan untuk mencari jalan supaya orang Melayu dapat menguasai semula kerajaan.
Ujarnya, apa yang berlaku ketika ini orang Melayu berpecah-belah dan dibezakan dengan fahaman politik sekali gus menyebabkan mereka gagal dalam banyak perkara. – MalaysiaGazette
















