PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarah supaya mendapatkan penjelasan lanjut daripada syarikat telekomunikasi (telco) yang didakwa mengenakan caj RM10 sebulan bagi perkhidmatan perlindungan scam atau penipuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, penjelasan itu penting bagi meneliti kewajaran caj perkhidmatan yang dikenakan oleh telco terbabit.
“Saya belum meneliti laporan terbabit, tetapi saya akan minta supaya MCMC mengenalpasti syarikat perkhidmatan telekomunikasi berkenaan.
“Ini untuk mendapatkan penjelasan dan meneliti aspek ini, sama ada wajar ataupun tidak. Kita nak tahu dulu apa yang dimaksudkan (dengan perkhidmatan serta caj yang dikenakan),” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, persatuan pengguna dan pakar komputer menyelar tindakan telco mengenakan caj RM10 sebulan untuk perkhidmatan perlindungan scam atau penipuan.
Mereka menyifatkan tindakan itu tidak wajar dan bercanggah prinsip tanggungjawab asas penyedia perkhidmatan itu terhadap keselamatan pengguna khidmat mereka.
Persatuan pengguna dan pakar komputer turut menyifatkan, keselamatan asas pengguna khidmat telekomunikasi daripada gangguan panggilan dan pesanan sepatutnya ditanggung setiap telco dan bukannya dijadikan sumber keuntungan baharu syarikat berkenaan.
Ketika ini, terdapat telco yang mengenakan caj RM10 sebulan bagi perkhidmatan perlindungan daripada scam hingga menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat yang berpendapat keselamatan pelanggan sepatutnya menjadi tanggungjawab asas penyedia khidmat itu, bukannya dimanipulasi sebagai sumber keuntungan baharu. – MalaysiaGazette
















