PUTRAJAYA – Operasi pengosongan dan perobohan rumah di Kampung Papan, Pandamaran, Klang perlu diuruskan dengan lebih tertib agar tidak mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan ada disentuh secara ringkas menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini, namun belum dibincangkan secara mendalam memandangkan ia melibatkan tanah milik persendirian.
“Hal ini ada disentuh pada mesyuarat Jemaah Menteri, ada dibincangkan tapi tidak mendalam. Kami difahamkan tanah tersebut adalah milik persendirian dan masih (pemilik) yang sama.
“Ada keputusan mahkamah yang sedang dilaksanakan oleh pihak bailif dan memang ada dalam kalangan menteri yang minta supaya isu ini diuruskan dengan lebih tertib dan lebih baik supaya tidak menjadi isu,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan, perkara itu kini sedang diteliti oleh Jemaah Menteri memandangkan ia melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri.
“Dan sekiranya ada cara untuk kita membantu menguruskan (atau) menyelesaikan isu ini, nanti akan dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari),” katanya.
Media melaporkan, sebanyak 20 rumah di Kampung Papan, Pandamaran terbabit dalam kerja pengosongan sejak Isnin lalu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju.
Bagaimanapun, proses pengosongan rumah penduduk itu kecoh apabila beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk membantah dan menghalang kerja perobohan.
Penduduk sebelum ini mendakwa arahan dikeluarkan hanya membenarkan rumah kosong dirobohkan, namun pihak terbabit bertindak melangkaui arahan itu dengan merobohkan rumah yang masih berpenghuni. – MalaysiaGazette
















