BUTTERWORTH – Seorang lelaki dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap kenalannya, pada minggu lalu.
Hakim Roslan Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Naim Mohmad Roedzi, 38, selepas dia membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu 7 November lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 65 tahun yang dikenalinya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 11.43 malam di Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas, dekat sini, pada 6 November lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, seorang saksi yang tinggal berhampiran masjid mendengar pergaduhan sebelum melihat tertuduh dan mangsa berada di hadapan masjid.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Kepala Batas susulan mengalami kecederaan parah sebelum doktor memaklumkan lelaki itu mengalami kecederaan serius pada muka termasuk patah paha kanan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh, selain memaklumkan mangsa meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa di hospital.
Manakala dalam rayuan, tertuduh memohon agar hukuman penjara diberikan bermula dari tarikh tangkap, selain memaklumkan dia menghidap sawan, mempunyai masalah mental serta membantu ibunya dalam kerja menyiram pokok bunga di masjid.
Sementara itu, sebaik prosiding selesai, tertuduh dilihat menangis sambil memanggil ibunya dan meminta maaf ketika anggota polis mengiringinya ke lokap mahkamah. – MalaysiaGazette
















