Persatuan Anak Kenyalang Perantauan Johor mengadakan pameran di Festival Zapin Jauhar di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri baru-baru ini.

ISKANDAR PUTERI – Keunikan budaya masyarakat Iban Islam di Johor terus menjadi tumpuan apabila diketengahkan sebagai satu tarikan utama dalam Festival Zapin Jauhar, menjelang penganjuran Tahun Melawat Johor 2026.

Festival yang berlangsung meriah di Educity Sports Complex di sini baru-baru ini selama empat hari menghimpunkan pelbagai komuniti Sarawak di perantauan, khususnya kelompok Iban Islam yang semakin berkembang di negeri berkenaan.

Pengerusi Persatuan Anak Kenyalang Perantauan Johor, Dennis Sankan Abdullah berkata, masyarakat Iban Islam kini lebih aktif memperkenalkan budaya dan adat mereka menerusi pelbagai program sosial serta kegiatan komuniti yang memupuk perpaduan antara masyarakat.

“Kami berasa teruja sebab dijemput oleh Kementerian Perpaduan ke Festival Zapin Jauhar. Persatuan Anak Kenyalang memperkenalkan budaya Iban serta adat di Semenanjung.

“Bila sebut Iban, ramai yang masih belum tahu. Jadi melalui pameran ini, kami memperkenalkan masyarakat Iban terutama dari segi budaya, pemakaian dan sebagainya.

“Kami yakin pada masa akan datang lebih ramai pelancong Singapura akan mengetahui kewujudan masyarakat Iban di Johor,” katanya ketika ditemui pemberita dalam festival tersebut.

Festival anjuran Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Johor itu bukan sekadar pementasan kebudayaan, malah menjadi pentas penting memperlihatkan keharmonian antara adat tradisi dan nilai Islam.

Persatuan Anak Kenyalang Perantauan Johor turut menampilkan pameran rumah Iban Islam, selain demonstrasi adat yang disesuaikan dengan prinsip kesopanan Islam bagi mengetengahkan identiti Iban Islam yang masih kurang diketahui masyarakat umum.

Pameran tersebut menerima sambutan luar biasa termasuk daripada pengunjung dari Singapura dan Kepulauan Riau, Indonesia.

Kehadiran mereka memperlihatkan minat mendalam terhadap cara masyarakat Iban Islam mengekalkan seni kraftangan, makanan tradisi dan adat sosial tanpa bercanggah dengan syariat.

Menurut Dennis, lebih 40,000 masyarakat Sarawak kini bermastautin di Johor, dengan kira-kira 70 peratus daripadanya terdiri daripada kaum Iban yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti awam, swasta, industri dan perdagangan.

Sebahagian besar telah berkeluarga dan berintegrasi sepenuhnya dalam komuniti setempat.

Penyertaan masyarakat Iban Islam dalam Festival Zapin Jauhar bukan sahaja mengangkat warisan budaya Bumi Kenyalang, malah memperkukuh semangat Bangsa Johor yang meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan utama negeri ini.

Festival berkenaan sekali gus mempamerkan imej Johor sebagai negeri yang menghormati pelbagai adat, agama dan cara hidup, dalam suasana harmoni dan muhibah selaras aspirasi perpaduan nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast