Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim melambaikan tangan kepada kakitangan semasa meninggalkan Istana Kehakiman sempena persaraan wajib 66 tahun di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 NOVEMBER 2025

PUTRAJAYA – Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang mula bersara hari ini tidak pernah membayangkan akan berjaya berada kedudukan hari ini.

Dengan nada yang merendah diri, Hasnah mendedahkan, pada usia muda cita-citanya hanya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pengiklanan namun tidak kesampaian.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menerima bunga daripada kakitangan sempena persaraan wajib 66 tahun di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 NOVEMBER 2025

“Saya sebenarnya berminat alam bidang pengiklanan tapi datuk saya ketika itu tidak benarkan. Kemudian saya ambil perundangan di UM (Universiti Malaya). Saya masa muda memang “follow the flow” (ikut sahaja keadaan)

“Tidak pernah dalam fikiran saya akan memegang jawatan ini, tidak pernah terbayangkan. Saya begitu bangga memegang jawatan ini,” katanya ketika ditemui di majlis persaraannya di Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Menjadi antara Hakim Kanan Persekutuan, sudah tentu Hasnah menggalakkan penyertaan lebih ramai kaum wanita dalam kerjaya kehakiman.

Katanya, meskipun tugas berkenaan tidak mudah namun kerja keras akan dinilai selayaknya tanpa diskriminasi atau layanan berbeza.

“Saya berpendirian kita memerlukan lebih ramai wanita dalam top kehakiman, meski tidak mudah tapi kami tidak pernah dilayan istimewa atau berbeza oleh hakim lelaki.

“Kami dinilai berdasarkan prestasi, hanya perlu bekerja keras, jujur, mesti ada integriti. Wanita mesti yakin,” ujarnya.

Mengaku rapat dengan kakitangan yang bekerja dengannya, Hasnah gagal menahan sebak ketika bersalaman dengan kakitangan pejabatnya, petang ini.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim tidak dapat menahan sebak ketika berjumpa bersama kakitangan sempena persaraan wajib 66 tahun di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 NOVEMBER 2025

Ditanya nasihatnya kepada para hakim, beliau berkata, tidak ada salahnya untuk menikmati hidup asalkan bijak membahagikan masa antara kerjaya dengan kehidupan peribadi dengan baik.

Beliau sendiri katanya, biarpun selama ini sibuk dengan kerjayanya tetapi dia tidak pernah lupa untuk menikmati kehidupan dan hobinya seperti memasak, menyanyi dan membakar kek.

Selain itu, beliau turut suka muzik, menari, membaca dan menonton komedi romantik.

Ujarnya, itulah antara aktiviti yang akan dilakukannya selepas ini untuk mengisi masa lapangnya.

“Saya suka masak pasta tapi saya juga tahu masa gulai lemak cili api sebab saya berkahwin dengan orang Negeri Sembilan, sambal daun kayu pun saya tahu buat sebab walaupun anda merupakan wanita bekerjaya anda perlu jaga keluarga, masak untuk suami dan anak-anak.

“Bila memasak ia buat saya relaks, walaupun kalau membakar kek ia tidak menjadi tidak mengapa, cuba lagi. Saya beritahu hakim-hakim yang lain tidak mengapa untuk berseronok dalam kehidupan,” ujarnya.

Hasnah dilahirkan pada 15 Mei 1959 di Kuantan, Pahang, memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1 Ogos 1983 sebagai Penasihat Undang-Undang juga Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang juga Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Telekomunikasi dan Pos serta Kementerian Kerja Raya.

Hasnah merupakan pegawai wanita pertama yang memegang jawatan Penolong Penasihat Undang-Undang di Selangor apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Selangor pada 1994 dan kemudiannya di Kuala Lumpur.

Seterusnya pada tahun 2000, Hasnah menjawat jawatan sebagai Pendaftar Mahkamah Rayuan, seterusnya pada tahun 2007, beliau dilantik pula sebagai Pengarah Lembaga Kelayakan Undang-Undang (LQB).

Sembilan tahun kemudian, beliau menjadi sebagai Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi.

Jawatan terakhir Hasnah dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan adalah sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dari tahun 2009 hingga 2010 sebelum dilantik Pesuruhjaya Kehakiman dan kemudiannya Hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada 4 April 2012.

Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Komersial di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sehingga dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 21 Mac 2016.

Hasnah juga pernah menjadi Presiden Tribunal Rayuan Persaingan pada tahun 2013, beliau melakar kariernya yang cemerlang sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 Disember 2019 dan pada 12 November 2024 menjadi Hakim Besar Malaya.
– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast