Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan

ISKANDAR PUTERI – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja secara dalam talian yang menyasarkan warga Myanmar selepas menahan lima individu warga negara itu dalam serbuan di Gelang Patah, di sini kelmarin.

Serbuan tersebut dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Johor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, sindiket berkenaan menjadikan warga Myanmar sebagai mangsa menerusi media sosial.

“Dalam serbuan tersebut, lima individu warga Myanmar ditahan berusia antara 21 hingga 29 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan menawarkan pekerjaan tidak wujud kepada mangsa melalui media sosial dan aplikasi Whatsapp.

“Rampasan turut dibuat ke atas perkakasan yang disyaki digunakan bagi tujuan penipuan iaitu telefon bimbit, komputer riba, tablet dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 420/120b Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau denda.

Pihaknya menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan tawaran kerja yang lumayan terutama meminta bayaran pendahuluan.

“Orang ramai juga diseru sentiasa mengikuti laman sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mendapatkan pengetahuan tentang modus operandi terbaharu jenayah komersil khasnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast