KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun dilaporkan hilang sejak empat hari lalu kawasan Cheras, di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mangsa Chong Ah Sing dilaporkan terakhir kali dilihat di kawasan NSK Jalan Peel, di sini empat hari lalu.
Tambah beliau, warga emas berkenaan menghidap penyakit dimensia dan mungkin mempunyai kesukaran untuk berkomunikasi.
“Mangsa tidak membawa kad pengenalan dan telefon bimbit ketika dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan di akaun rasmi Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Jelas Aidil, mangsa dilaporkan memakai seluar hitam pendek, berbaju kemeja berkolar putih dan berselipar.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Abdul Shukur di talian 017-2423353 atau menghubungi Balai Polis Cheras di talian 03-92050302 bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette















