KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN Sabah) mencatat sejarah baharu apabila seramai 596 calon disahkan bertanding, jumlah paling tinggi dalam mana-mana pilihan raya negeri di Sabah setakat ini.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, angka itu selepas tempoh penamaan calon ditutup tepat jam 10 pagi di 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh negeri dengan calon Bebas paling ramai mengemukakan borang pencalonan dengan 74 orang.
“Selepas tempoh penamaan calon telah ditutup pada jam 10:00 pagi, seramai 596 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17,” kata Ramlan dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramlan turut memaklumkan antara parti yang menghantar jumlah calon terbesar ialah Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan 73 calon, Parti Impian Sabah (72 calon), Gabungan Rakyat Sanah (GRS) 55 calon, STAR Sabah (46 calon) dan Barisan Nasional (45 calon).
Perikatan Nasional pula menghantar 42 calon, manakala Parti Kesejahteraan Demoktratik (KDM) serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) masing-masing menghantar 40 dan 25 calon, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 22 calon.
Berdasarkan pecahan penjuru, empat kerusi menyaksikan pertandingan 13 penjuru sementara satu kerusi melibatkan 14 penjuru.
Sebanyak 10 kerusi pula membabitkan saingan sembilan penjuru, sembian penjuru di 10 kerusi, lapan penjuru (8), tujuh penjuru (10), enam penjuru (13), lima penjuru (8) dan empat penjuru (2).
Ramlan turut mengumumkan komposisi calon mengikut jantina dengan 525 calon lelaki dan 71 calon wanita bertanding.
Dari segi umur, calon tertua berusia 86 tahun bertanding di DUN Bingkor mewakili PKS, manakala calon termuda berusia 24 tahun turut mewakili PKS di DUN Silam.
SPR menetapkan tempoh rasmi berkempen bermula sejurus pengisytiharan pertandingan dan akan berakhir pada 28 November 2025, jam 11.59 malam.
Badan itu berkata sebanyak 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) telah ditubuhkan untuk memantau semua aktiviti calon bertanding bagi memastikan kempen berlangsung secara teratur. – MalaysiaGazette
















