GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menyifatkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan semalam sebagai sebuah bajet menyeluruh, progresif dan berimpak tinggi dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memacu masa depan negeri.

Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, bajet berkenaan menggambarkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kemakmuran dikongsi secara inklusif, selain memperincikan hala tuju jangka panjang yang memberi tumpuan kepada generasi muda, pembangunan insan dan pengukuhan daya saing ekonomi.

“Empat tema utama Bajet 2026 menunjukkan visi sebuah negeri yang mapan, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.

“Komitmen memperluas perumahan mampu milik, meningkatkan perkhidmatan awam dan mengukuhkan infrastruktur komuniti membuktikan usaha kerajaan dalam menjamin kualiti hidup rakyat secara menyeluruh.

“Selain itu, penekanan kepada peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengukuhan ekosistem industri strategik memastikan Pulau Pinang kekal sebagai peneraju ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, usaha menggalakkan penyertaan rakyat, terutamanya golongan belia, dalam penggubalan dasar dan pembangunan sosial sejajar dengan aspirasi demokrasi matang.

“Pelaburan terhadap pembangunan fizikal dan infrastruktur mampan menunjukkan persediaan negeri menghadapi cabaran perubahan iklim dan urbanisasi.

“Kita juga menyatakan pendirian untuk terus berdiri bersama Kerajaan Negeri dalam memastikan Pulau Pinang kekal maju, inklusif dan makmur untuk semua rakyat,” katanya.

Media semalam melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM1.088 bilion bagi Belanjawan 2026 dengan catatan defisit RM19.92 juta, yang disifatkan sebagai terendah dalam sejarah negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, belanjawan tahun depan dirangka bagi memastikan pengurusan fiskal negeri kekal berhemah dan mampan, serta memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan Visi Penang2030 dan aspirasi Malaysia Madani.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, RM1.051 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan bekalan manakala RM37.07 juta bagi perbelanjaan tanggungan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast