ROMPIN – Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) diharap mengambil kira faktor kebajikan komuniti setempat yang tinggal di kawasan terbabit apabila mengenakan Caj Jalan Persendirian kelak.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, ia termasuk mempertimbang kebajikan penduduk yang menggunakan jalan tersebut sebagai rutin seharian.
“Bagi pihak kerajaan negeri, kita berharap pihak Genting Malaysia juga mengambil kira juga faktor itu, contohnya bagi penduduk yang menghantar anak bersekolah di situ dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bas Ekspress dengan sistem keselamatan terkini ADAS dan DMS, Sanwa Tours (M) Sdn Bhd di Terminal Sentral Muadzam Shah, di sini hari ini.
Razali menjelaskan, jalan berkenaan bukan jalan Persekutuan atau negeri, sebaliknya dibina dan diselenggara oleh pihak Genting Malaysia sendiri sejak tahun 1960-an lagi.
Bagaimanapun, aspek keselamatan, standard teknikal dan pematuhan kawal selia bagi mana-mana laluan seperti ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pahang melalui Majlis Perbandaran Bentong.
Baru-baru ini, Genting Malaysia mengesahkan akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan sebaik sahaja butiran lanjut mengenai bayaran bagi jalan persendirian ini (Caj Jalan Persendirian) tersedia.
Genting Malaysia menegaskan, bayaran bagi menggunakan jalan persendirian itu adalah perlu memandangkan kos penyelenggaraan sepanjang 24 kilometer dan cerunnya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut sejak tahun 1960-an. – MalaysiaGazette
















