Cleophas John Gordon bersama Tan Sri Anifah Aman.

Oleh Cleophas John Gordon

PERTEMUAN pertama saya dengan Tan Sri Anifah Aman berlaku pada tahun 2015, ketika saya masih seorang wartawan muda di New Sabah Times iaitu akhbar yang dipengerusikan oleh abang sulung beliau, Datuk Ayub Aman.

Saya tidak lagi mengingati majlis apakah yang menemukan kami buat kali pertama, namun tugasan besar pertama saya bersama Tan Sri ialah liputan forum Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang beliau anjurkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sebagai wartawan politik yang masih mentah waktu itu, menyaksikan seorang Menteri Kabinet Barisan Nasional duduk sepentas dengan pemimpin pembangkang bagi membincangkan hak Sabah adalah satu pengalaman yang menggegarkan jiwa.

Di mata saya, Tan Sri Anifah bukan sekadar menteri sebaliknya beliau adalah pelopor dalam memperjuangkan hak negeri ini ke atas pulangan hasil 40 peratus, seperti yang termaktub dalam Perkara 112(C) dan 112(D) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun sering berdepan tekanan, sambutan dingin, malah penentangan daripada rakan-rakan Kabinet sendiri termasuk dari Sabah beliau tetap teguh tidak berganjak.

Forum demi forum dianjurkan. Pakar undang-undang, aktivis, ahli politik dari seluruh spektrum idealisme dipertemukan. Banyak kali beliau “melawan arus”, malah kerap dilihat tidak seiring dengan naratif parti ketika itu.

Ironinya, pada masa yang sama, abangnya sendiri ketika itu Ketua Menteri, Tun Musa Aman sering dituduh terlalu akur kepada kehendak Persekutuan mengenai hak Sabah. Namun Tan Sri tetap tidak menoleh ke belakang. Perjuangan itu, pada dirinya, adalah prinsip bukan slogan.

Pilihan Raya Umum 2018 menjadi detik bersejarah. BN tumbang di peringkat nasional, tetapi Tan Sri tetap mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis. Namun kekecewaannya terhadap cara UMNO menguruskan isu MA63 memaksa beliau membuat keputusan paling sukar meletakkan jawatan.

Tindakan itu menandakan satu hal yang jelas: Kesetiaannya kepada Sabah mengatasi kesetiaan kepada parti.

Kemudian, pada 2019, kemenangannya dibatalkan mahkamah. Namun beliau tidak pernah patah. Beliau memimpin Parti Cinta Sabah (PCS), bertanding di semua 73 kerusi DUN pada PRN 2020 di bawah panji ‘Sabah for Sabahans’.

PCS kecundang tanpa satu kerusi pun tetapi orang seperti Tan Sri Anifah tidak dibina daripada bahan yang mudah retak. Beliau bangkit, memimpin PCS masuk ke dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang kekal mentadbir negeri sehingga pembubaran DUN baru-baru ini.

Politik Sabah hari ini cukup bergelora. STAR dan SAPP keluar daripada GRS akibat perselisihan mengenai kerjasama parti nasional. Warisan, UPKO dan parti-parti pembangkang lain pula semakin lantang tentang MA63 dan dasar berteraskan Sabah.

Di peringkat Persekutuan, isu 40 peratus terus berombak-ombak menjadi peringatan bahawa perjuangan ini belum selesai.

Dalam kancah politik yang penuh dendam dan drama ini, sosok Tan Sri Anifah Aman terserlah bukan sebagai sekadar ahli politik tetapi seorang negarawan.

Ketika orang lain di tempatnya mungkin memilih untuk merintih atau menjerit, beliau memilih jalan rundingan.

Beliau mencari titik tengah dalam GRS, membina jambatan dengan kerajaan Persekutuan, dan mengingatkan kita bahawa diplomasi adalah seni yang menentukan jatuh bangunnya Sabah dalam sistem persekutuan.

Sejarah keterasingan Sabah pada tahun 1990-an cukup menjadi pengajaran dan Tan Sri antara yang paling memahami luka itu.

Pada pentas antarabangsa, nama beliau bukan asing. Beliau dihormati di banyak negara. Beliau juga antara watak penting yang menyokong kemasukan Timor Leste ke ASEAN sesuatu yang disahkan sendiri oleh Presiden José Ramos-Horta kepada saya.

Jika Tan Sri Anifah Aman diberi mandat mewakili Bongawan di Dewan Undangan Negeri Sabah, saya yakin pendekatan matang beliau gabungan keberanian, ketegasan, dan diplomasi akan membawa manfaat luar biasa kepada rakyat di sana.

Tan Sri Anifah Aman ialah seorang negarawan yang jarang muncul dalam satu generasi. Beliau tegas, tetapi berprinsip. Beliau berani, tetapi berhemah. Beliau lantang memperjuangkan hak Sabah, tetapi tetap memilih rundingan sebagai jalan utama.

Dan itulah sebabnya saya berkhidmat untuk Tan Sri hari ini.

Saya memilih untuk menyokong seorang pemimpin yang mendahulukan masa depan Sabah, bukan dirinya.

Seorang yang faham bahawa kejayaan negeri ini bergantung kepada penyatuan rakyatnya, serta hubungan kerja yang matang dengan Kerajaan Persekutuan.

Ketika Bongawan berdepan cabaran politik yang semakin rumit, saya percaya kawasan ini akan memperoleh manfaat besar daripada kepimpinan, visi dan keteguhan semangat beliau.

— Beliau merupakan penjawat awam negeri Sabah dan kini bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Tan Sri Anifah Aman.

NOTA: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sepenuhnya dan tidak mewakili pendirian MalaysiaGazette – Pengarang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast