Penahanan beberapa buah kenderaan dalam Operasi Luxury dan Operasi Perang Lebih Muatan yang dijalan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur. -Sumber JPJ WPKL.

KUALA LUMPUR – Dua buah kenderaan berjenama mewah Porsche 911 dan Lamborghini Aventador disita Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) melalui Operasi Luxury.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, tindakan itu dilakukan dari hasil pemeriksaan melibatkan aspek pematuhan Lesen Kenderaan Motor (LKM), insurans, lesen memandu serta keperluan teknikal.

Tambah beliau, pendekatan bersepadu ini menunjukkan bahawa penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada kenderaan perdagangan, tetapi melibatkan semua pengguna jalan raya yang menyalahi undang-undang.

Sebuah Lamborghini antara yang disita JPJ Kuala Lumpur menerusi Operasi Luxury baru-baru ini. -Sumber JPJ WPKL.

Dalam operasi sama, JPJ WPKL meneruskan Operasi Perang Lebih Muatan dan telah menyita lima kenderaan perdagangan atas kesalahan berat.

“Kesalahannya adalah sebuah lori tipper dumper yang membawa muatan melebihi had dan treler yang melanggar syarat permit.

“Selain itu, beberapa pemandu memandu tanpa lesen lesen memandu kompeten (CDL) dan Goods Driving License (GDL) yang sah termasuk seorang pemandu warga asing.

“Kesemua kenderaan disita di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sejak operasi dilancarkan, pihaknya telah memeriksa sebanyak 5,967 buah kenderaan perdagangan, membawa kepada tindakan terhadap 939 kenderaan dan pengeluaran 2,398 saman atas pelbagai kesalahan.

Sebuah lori yang disita atas kesalahan lebih muatan dalam Operasi Perang lebih Muatan. – Sumber JPJ WPKL.

Hamidi berkata, sebanyak 14 buah kenderaan turut disita dengan kesalahan yang melibatkan pemandu warga tempatan dan warga asing.

“Statistik terbaharu ini menunjukkan bahawa tren ketidakpatuhan masih pada tahap membimbangkan.

“Pekara ini mengesahkan keperluan JPJ WPKL meneruskan operasi secara konsisten bagi membanteras budaya membawa muatan berlebihan,” ujarnya.

Dalam kenyataan ini juga, Menteri Pegangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa keselamatan tidak boleh dikompromi, dan menolak sama sekali alasan ekonomi bagi menghalalkan tindakan yang berisiko dan mengancam nyawa.

Sehubungan dengan itu, Hamidi turut memberi amaran keras kepada pemandu yang cuba mengelak pemeriksaan dengan melengahkan arahan atau menolak pemeriksaan timbang.

“Tindakan sedemikian boleh disiasat di bawah Akta 234 (b) APAD 2010, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga dua tahun,” tambahnya.

Hamidi menegaskan, JPJ WPKL tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan peraturan dan turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel [email protected] bagi membantu penguatkuasaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast