Datuk Mohd. Zaid Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pengundi Sabah perlu mempunyai misi yang jelas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung ketika ini iaitu menolak calon korup serta yang mempunyai kaitan dengan pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah.

Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, pengundi Sabah juga perlu menolak calon yang ada kaitan dengan pemimpin Persekutuan yang berdepan isu korup, serta yang datang daripada keluarga kaya-raya.

Ujar beliau, sekiranya pemimpin sebegitu masih diberi peluang menang pada PRN kali ini, maka formula perkongsian hasil 40 peratus hak Sabah tidak akan sampai kepada penduduk negeri itu.

“Seperti sebelum ini, bersekongkol dengan pemimpin Persekutuan yang korup maka wang itu akhirnya masuk ke poket YB (wakil rakyat) anda,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Mohd Zaid, pengundi Sabah juga perlu menyedari mengapa calon yang ada kaitan dengan keluarga kaya-raya turut bertanding pada PRN Sabah kali ini.

“Ini kerana mereka menjangkakan gravy train (durian runtuh) dari Putrajaya akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Pusat tidak akan berundur dalam usaha menunaikan hak Sabah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, proses rundingan teknikal akan diteruskan secara teratur bermula esok, melibatkan pegawai antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang antara lain diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta wakil kerajaan Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast