KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas belum menerima sebarang dokumen berkaitan perjumpaan semua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadual berlangsung malam esok.
Beliau turut menyatakan dakwaan mengenai kewujudan kertas cadangan untuk menggantikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin itu masih belum dapat disahkan oleh mana-mana pimpinan parti.
“Kami (Ahli-ahli Parlimen Bersatu) memang tidak ada terima apa-apa dokumen ini (surat cadangan menukar Ketua Pembangkang).
“Masih belum tahu lagi itu, saya tak rasa dokumen ini akan diedar (malam) esok,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, tular satu draf dokumen dalaman bertarikh 10 November lalu yang didakwa sebagai surat sulit kepimpinan Bersatu yang menggesa tindakan segera diambil terhadap individu tertentu demi mendamaikan dan memulihkan kesejahteraan parti.
Surat tanpa kepala surat rasmi itu turut mengandungi perkataan ‘sulit’ selain mencadangkan agar Hamzah digantikan dengan Radzi sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.
Mengulas lanjut, Muhammad Islahuddin menegaskan, dakwaan mengenai surat cadangan itu hanya propaganda politik dan tidak disertakan bukti kukuh.
“Ini propa sahaja ini,” katanya lagi.
Ditanya sama ada beliau akan menghadiri perjumpaan bersama Muhyiddin malam esok, beliau mengesahkan kehadirannya namun enggan mengulas isu-isu yang akan dibincangkan.
Menurutnya, pertemuan tersebut hanyalah perjumpaan biasa antara kepimpinan parti dan ahli-ahli Parlimen.
“Memang kami selalu sahaja ada perjumpaan-perjumpaan cuma mungkin kali ini sebab isu yang ada, ini yang nampak panas. Saya rasa tidak ada apa yang panas pun malam esok sebab hanya perjumpaan santai,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















