Radius pencarian mangsa diperluaskan.

GEORGE TOWN – Usaha mencari seorang pemuda yang dipercayai terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang di sini, semalam diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian diperluas sehingga radius empat kilometer.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, indentiti lelaki berusia 25 tahun itu sudah dikenal pasti dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bersama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Bandar Bagan Jermal dan Butterworth.

“Usaha pencarian turut digerakkan dengan penyelarasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang mengoperasikan sebuah bot, manakala pasukan JBPM dan Polis Marin turut menambah aset di perairan berkenaan.

“Pencarian bermula dari lokasi lelaki itu dipercayai terjun dan diperluaskan sehingga empat kilometer bagi meneliti semua kemungkinan,” katanya hari ini.

Beliau memaklumkan, Pos Kawalan Bomba dibuka di Pengkalan Marin Mak Mandin, namun setakat ini tiada waris mangsa hadir di lokasi.

Artikel berkaitan:

Henti sebar gambar IC saya

Media semalam melaporkan, seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari pulau menghala ke Perai.

Mangsa dikatakan meninggalkan bungkusan plastik berisi pakaian, telefon bimbit dan motosikal Yamaha Y16 di tepi tembok jambatan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan pada 6.56 petang sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Perai diketuai Penguasa Bomba Kanan I, Rohaizal Abdul Aziz.

“Operasi SAR dilaksanakan dan ketika ini pasukan Maritim Malaysia dan Polis Marin telah pergi ke lokasi kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast