KUALA LUMPUR – Orang ramai dminta menggunakan talian kecemasan Next Generation Emergency Services 999 (NG999) dengan penuh tanggungjawab susulan pelaksanaan sistem baharu yang menggantikan Malaysian Emergency Responses 999 (MERS999) mulai semalam.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, setakat September 2025, sebanyak 169,015 panggilan palsu MERS999 direkodkan sekali gus menjejaskan tindak balas kecemasan dan perlindungan orang awam.
“Panggilan palsu bukan sekadar salah guna sistem tetapi turut memberi implikasi amat serius terhadap masa tindak balas serta mewujudkan lompang perlindungan apabila pasukan penyelamat tidak dapat digerakkan ke lokasi kejadian yang memerlukan bantuan segera,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sistem NG999 diperkenalkan kerajaan sekarang untuk meningkatkan perkongsian data dan pengesanan lokasi antara pusat panggilan kecemasan dan agensi berkaitan bagi mempercepatkan tindak balas penyelamatan.
Sistem baharu itu juga menggunakan teknologi canggih seperti analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan.
Kor Ming menegaskan, membuat panggilan palsu 999 adalah jenayah, boleh didenda atau dipenjara di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan denda sehingga RM50,000, penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya serta Seksyen 182 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
“Kerjasama semua pihak diperlukan supaya tidak berlaku lagi kejadian tidak bertanggungjawab ini demi keselamatan orang awam dan tindakan undang-undang tegas akan diambil,” tambahnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Sistem panggilan kecemasan baharu negara NG999 beroperasi mulai hari ini
















