KUALA LUMPUR – RTM memaklumkan tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu dalam siri animasi bertajuk `Santiago of the Seas’.
Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Penyiaran Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ia berdasarkan laporan Penilaian Kandungan dan semakan yang telah dilaksanakan ke atas episod 22 siri animasi itu yang disiarkan di TV2, pukul 10 pagi pada 16 November (Ahad) lalu.
Bagaimanapun, menurutnya, bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM telah menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri tersebut.
“RTM kekal komited untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak,” katanya.
Sehubungan itu, tambah kenyataan tersebut, RTM memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menimbulkan spekulasi yang tidak wajar serta merujuk terus kepada RTM bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Terdahulu, pengguna media sosial berkongsi kebimbangan berkenaan adegan yang didakwa berunsurkan LGBT dalam siri animasi Santiago of The Seas yang disiarkan di saluran TV2 RTM, sekali gus mendesak tindakan pihak berwajib. – MalaysiaGazette
















