KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menepis dakwaan kekuatan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tergugat berikutan beberapa bekas ahlinya bertanding atas tiket Bebas.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perbuatan bekas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sedikit pun tidak mengubah strategi gabungan untuk merampas kemenangan.
“Itu hak mereka, tapi tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam pilihan raya akan datang ini.
“Tidak ada (berubah),” katanya ringkas selepas melancarkan Manifesto PRN17 GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Sebelum ini beberapa bekas penyandang yang tidak dinamakan semula sebagai calon mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas.
Antara calon yang bertindak demikian termasuk Datuk Fairuz Renddan (DUN Pintasan), Datuk Rina Jainal (DUN Kukusan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (DUN Patagas) dan ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Roland Chia (DUN Inanam).
Sementara itu, Hajiji menerusi ucapannya semasa pelancaran manifesto GRS berkata, dokumen yang bertemakan ‘Rumah Kita, Kita Jaga – TanahAir Maju, Rakyat Berkemajuan’ itu merupakan deklarasi akujanji, komitmen, dan perancangan strategik GRS.
Katanya, manifesto itu akan membawa Sabah ke satu era baharu yang lebih baik selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dilaksanakan oleh kerajaan GRS sebelum ini.
“Hari ini, atas nama perjuangan dan komitmen GRS, kita lancarkan Manifesto GRS sebagai deklarasi aku janji, komitmen dan perancangan strategik parti GRS kepada rakyat Sabah untuk tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya.
Deklarasi aku janji GRS yang berlandaskan empat tunjang utama iaitu perjuangan, iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah Ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya), dan Sabah United (Sabah Yang Bersatu). -MalaysiaGazette
















