KUANTAN – “Kerana gagal dua kali saya berusaha sampai berjaya. Saya di sini bukan sebab cemerlang, tetapi kerana pernah melalui kegagalan sebelum ini,” kata Siti Nur Khalidah Rosli.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dengan Kepimpinan Pengajaran Institut Pendidikan Guru (IPG) berusia 23 tahun itu berkongsi pengalaman kegagalannya temu duga untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Katanya, beliau tidak patah semangat namun berusaha melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) bagi meruskan cita-citanya.
“Saya memang tidak sangka terpilih untuk dapat anugerah Sultan Ahmad Shah pada Istiadat Konvokesyen Ke-22 UniPSAS.
“Kegagalan yang membuatkan saya lebih kuat untuk mencapai impian menjadi guru Bahasa Inggeris,” katanya.
Nur Khalidah mencatat rekod akademik cemerlang termasuk Anugerah Dekan bagi setiap semester dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 selain memperoleh Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 4.00 untuk empat semester berturut-turut daripada lapan semester.
Beliau turut dilantik sebagai Exco Insaniah Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi (FOLAFS) selama dua sesi berturut-turut dan merupakan ahli aktif Kelab Aspirasi Suara (VAC).
Beliau turut menyertai pelbagai program termasuk English Week, Lawatan Akademik ke Amani Vanilla, Product Proposal & Cultural Exhibition, serta membantu menguruskan FOLAFSSA Day, pertandingan syarahan, program kebajikan dan teater universiti.
Terus memburu cita- cita menjadi pendidik Bahasa Inggeris, anak kedua daripada tiga beradik itu kini menjalani praktikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjong, Batu Pahat dan melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Open University Malaysia. – MalaysiaGazette
















