KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh jaringan antarabangsa melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Hainan University (HNU) China, baru-baru ini.
Pemeterian tersebut menandakan peluasan kerjasama akademik rentas sempadan, khususnya dalam bidang penyelidikan dan mobiliti global.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menyifatkan pemeteraian MoU tersebut sebagai satu detik bersejarah dalam pengukuhan hubungan akademik antarabangsa.
“Kita berkumpul pada pagi bersejarah ini untuk menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama strategik rentas sempadan melalui pemeterian Memorandum Persefahaman antara UMS dan Hainan University,” katanya.
Tambah Kasim, majlis pemeteraian tersebut bukan sekadar satu acara protokol semata-mata, sebaliknya melambangkan komitmen bersama kedua-dua institusi untuk memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan.
“Kerjasama antara UMS dan HNU telah bermula sejak tahun 2024, melalui jemputan untuk menyertai Liga Universiti Tropika daripada HNU sebagai ahli pengasas serta penyertaan Institut Penyelidikan Marin Borneo sebagai wakil UMS di Sidang Kemuncak Liga Universiti Tropika pada April 2025.
“Majlis hari ini bukan hanya sebuah acara formal, tetapi menjadi simbol tekad bersama kita dalam mengukuhkan lagi hubungan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti.
“Pemeterian MoU ini sekali lagi mengukuhkan hasrat kedua-dua institusi untuk memperluas program mobiliti, penyelidikan bersama dan pertukaran kepakaran,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Majlis HNU, Profesor Zhang Jiyou dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada UMS atas komitmen yang ditunjukkan dalam menjayakan kerjasama strategik tersebut.
“Matlamat utama lawatan kami ialah untuk memperkukuhkan kerjasama dalam rangka Liga Universiti Tropika (LTU), dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan serta pertukaran pensyarah dan pelajar bagi meningkatkan kerjasama
ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.
Dengan termeterainya MoU ini, peluang kerjasama yang lebih luas bakal diterokai, termasuk pelaksanaan pertukaran pelajar dan staf, projek penyelidikan bersama, serta penganjuran program akademik peringkat serantau. – MalaysiaGazette
















