KUANTAN – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang dalam proses penubuhan Universiti al-Quran akan menawarkan pengajian berasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, usaha tersebut dilakuakn sebagai saranan daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam usaha memberi peluang kepada golongan pelajar pondok dan madrasah menyambung pengajian di universiti berkenaan.
“Apabila tuanku titahkan memberikan pendidikan kepada anak-anak yang belajar di madrasah dan pondok di Pahang dan seluruh Malaysia maka kita melihat anak pondok yang tidak ada SPM dan tidak berada dalam sistem pendidikan arus perdana.
“Maka mereka dan tidak ada sijil jadi apa yang membolehkan mereka untuk menyambung pengajian di universiti ini adalah melalui pengajian TVET,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen UniPSAS kali ke-22, di sini, hari ini.
Jelas Zawavi pihaknya sudah berbincang dengan jabatan berkaitan dan menjalin kerjasama dengan Pahang Skills dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berhubung perkara tersebut
“Mereka yang akan menyambung pengajian di Universiti al-Quran bukan saja sijil diikitiraf MQA tetapi mereka mempunyai peluang sambung dalam bidang TVET.
“Insya- Allah akan ada kursus ditawarkan dan memberi bimbingan kepada pensyarah untuk diberikan pendedahan TVET,” katanya. – MalaysiaGazette
















