JOHOR BAHRU – Johor sekali lagi mencatat kejayaan apabila muncul negeri tertinggi pelaburannya di Malaysia berjumlah RM91.1 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap Johor serta hasil usaha bersama-sama dalam mewujudkan tadbir urus cekap, perkhidmatan lebih responsif dan budaya kerja yang semakin profesional.

“Johor menjadi pilihan bukan hanya kerana saiz ekonominya, tetapi kerana komitmen negeri untuk memperbaiki sistem, memperkemas proses serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pelabur.

“Kerajaan negeri sedar dan insaf bahawa kemajuan Johor tidak boleh hanya dilihat pada angka pelaburan.

“Pembangunan mesti bergerak seiring dengan infrastruktur, peningkatan integriti, disiplin, mentaliti dan sikap bertanggungjawab di setiap peringkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Onn Hafiz, menerusi keyakinan itu, Johor optimis bahawa limpahan manfaat pelaburan termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi, teknologi baharu dan peluang ekonomi akan dapat dinikmati seluruh rakyat Johor secara menyeluruh.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.

Begitu juga kepada pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Kementerian Ekonomi, Invest Johor, PBT serta semua rakan pelaksana.

“Semoga kejayaan ini menjadi penyuntik semangat untuk kita bekerja lebih kuat demi kesejahteraan dan kemajuan seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Ting Han berkata, Johor berada di atas Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang bagi jumlah pelaburan komited yang diumumkan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa konsisten dalam usaha memperkukuh jaringan promosi pelaburan antarabangsa bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, selaras dengan aspirasi Johor sebagai pintu masuk pelaburan serantau melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Dalam hal ini, Johor kini berada pada momentum pertumbuhan ekonomi yang paling kukuh dalam sejarah terkini. Dengan komitmen pelaburan mencecah RM56 bilion sehingga suku kedua 2025.

“Pada pagi ini, satu berita yang cukup baik telah diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia di mana sehingga suku ke-tiga 2025, Johor telah mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM91.1 bilion disusuli dengan Selangor RM51.9 billion, Wilayah Persekutuan RM45.9 bilion, Pulau Pinang RM23.7 bilion dan kami yakin Johor berada di landasan untuk mencapai sasaran RM100 bilion bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tan Eng Meng (Pekan Nanas-BN)  mengenai perancangan promosi pelaburan antarabangsa dilakukan Johor selepas misi ke UK dan AS dalam Sidang Dewan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri hari ini.

Ting Han yang merupakan ADUN Paloh berkata, nilai itu mengatasi gabungan pelaburan komited dua tahun sebelum ini pada 2023 sebanyak RM43 bilion dan 2024 sebanyak RM48.5 bilion.

Tambahnya, prestasi luar biasa itu adalah bukti bahawa promosi pelaburan antarabangsa yang dijalankan bukan sekadar misi diplomatik, membawa pulang hasil ekonomi yang nyata, besar dan segera kepada negeri.

“Selepas pelaksanaan misi pelaburan ke United Kingdom dan Amerika Syarikat baru-baru ini, kerajaan negeri melalui Invest Johor dan agensi pelaburan lain telah merangka beberapa inisiatif susulan.

“Ini menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu lawatan balas pelabur, penyertaan dalam forum pelaburan global, serta pengukuhan jaringan diplomatik pelaburan bersama agensi luar negara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast