Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri sudah menegur secara tegas kepada setiausaha politiknya yang dikatakan memberikan surat sokongan kontraktor terhadap projek hospital pada tahun lalu.

Jelasnya, berdasarkan peraturan dan prinsip tindakan berkenaan tidak boleh dilakukan.

“(Berkenaan) sokongan setiausaha politik saya, saya beri teguran keras kerana peraturan tidak membolehkan kita lakukan (seperti itu). Kalau saya terima surat, saya akan kata teliti, tidak boleh buat surat sokongan,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahmad Fadli Shaari (Pasir Mas-PN).

Terdahulu pemimpin Pas itu mempersoalkan tindakan Setiausaha Politik Perdana Menteri yang mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, daripada enam kontraktor yang disenaraikan dalam surat sokongan tersebut hanya dua mempunyai kelayakan.

Bagaimanapun, pemimpin Pas itu tidak menamakan pembinaan projek hospital tersebut yang terkait dengan surat sokongan berkenaan.

Dalam masa sama, Anwar juga menegaskan,  tiada sebarang program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah melibatkan jentera atau kemudahan kerajaan.

Bagaimanapun atas aspek keselamatan Perdana Menteri dibolehkan menggunakan kenderaan rasmi kerajaan.

“Tidak ada program di Sabah melibatkan program kerajaan dan kempen saya semuanya kempen atas nama parti. Di Parlimen sudah dijawab.

“Kalau begitu, saya perlu pakai kenderaan mana? Kenderaan kerajaan itu diberi kelonggaran, Perdana Menteri mesti guna pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa program kerana pertimbangan keselamatan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Fadli menerusi soalan tambahannya bertanya mengenai penggunaan aset kerajaan ketika Anwar berkempen sempena PRN Sabah baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast