Menara Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 MAC 2025

KOTA KINABALU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam Abdul Halim Sidek Gulam Hassan kekal sebagai bertanding meskipun menyatakan hasrat menarik diri selepas hari penamaan calon.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pihaknya mengambil maklum hasrat penarikan diri itu namun menegaskan bahawa ia tidak dibenarkan menurut peraturan sedia ada.

Beliau berkata mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, tiada seorang calon pun boleh menarik pencalonannya selepas 10 pagi hari penamaan.

“Justeru, Abdul Halim kekal tersenarai dalam kertas undi bagi bahagian pilihan raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada hari penamaan calon Sabtu lepas, DUN Silam menyaksikan pertandingan sembilan penjuru membabitkan 28,261 pengundi.

Antara calon bertanding Sharif Musa Sharif Mabul daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mizma Appehdullah (Gabungan Rakyat Sabah – GRS), Datuk Mohammad Yusof Apdal (Warisan), Borkes @ Balkis Kalinggalan (Perikatan Nasional – PN), Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas), Mohammad Enriquez (Parti Damai Sabah – SPP), Brahim Bisel (Parti Impian Sabah – PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (Parti Kebangsaan Sabah – PKS)

Susulan penarikan diri Abdul Halim, PH kini bertanding di 21 kerusi DUN. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast