KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menerima kunjungan 21 delegasi daripada Institut Bisnis dan Informatika Kesatuan (IBIK) Bogor, Indonesia dalam satu perkongsian ilmu dan strategi pencegahan rasuah baru-baru ini.
Dalam sesi perbincangan, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengetengahkan pelbagai inisiatif pencegahan rasuah yang dilaksanakan SPRM selain daripada tindakan operasi.
Tambah beliau, SPRM turut berperanan dalam merealisasikan pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) serta berusaha untuk mencapai kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi rasuah (CPI) menjelang 2033.
Azwan menegaskan, kepentingan integriti kepada mahasiswa khususnya bidang perniagaan dan kewangan sebagai nilai yang wajib diamalkan secara konsisten apabila memasuki dunia pekerjaan.
“Integriti, nilai murni dan kejujuran bukan sahaja sekadar dipelajari di sekolah atau universiti semata-mata namun ia harus menjadi budaya dan pegangan untuk dipraktikkan sepanjang hayat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lawatan tersebut turut membuka ruang pertukaran pandangan dua hala mengenai isu rasuah selain memberi pendedahan kepada IBIK melawat fasiliti utama termasuk lokap, bilik kawad cam dan bilik rakaman percakapan.

Dekan Fakulti Informatik dan Pelancongan IBIK, Bambang Hengky Rainanto pula menyifatkan perkongsian itu sebagai pengalaman dan panduan yang bermakna terhadap mahasiswanya.
“Keterbukaan SPRM ini amat jarang kami peroleh bahkan di negara sendiri, Malaysia telah menunjukkan contoh negara berintegriti sentiasa berusaha menjadi lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.
Turut hadir Prof Dr Jamaliah Said dan Prof Dr Balqis Zakaria daripada Accounting Research Institute (ARI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta pegawai kanan SPRM Selangor. -MalaysiaGazette
















