KUALA LUMPUR – Seramai 18 Ahli Parlimen Bersatu sebulat suara memberi sokongan kepada presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas satu pertemuan tertutup malam tadi.
Antara pemimpin yang hadir adalah timbalan presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang sebelum didakwa ‘tidak sebulu’ dengan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan.
Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin yang dikatakan bakal menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.
“Kami sokong Presiden, kami sokong Presiden, kami sokong Presiden. Tenang, tenang,” kata semua Ahli Parlimen Bersatu dalam satu video yang dikongsikan kepada media selepas pertemuan berakhir.
Antara pemimpin lain yang hadir adalah Kalam Salan (Ahli Parlimen Sabak Bernam), Komander Nordin Ahmad Ismail (Parlimen Lumut), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Parlimen Langkawi) dan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Parlimen Masjid Tanah).
Sementara itu, Kalam yang ditemui media di luar kediaman Muhyiddin turut mengesahkan pertemuan tertutup itu tidak membincangkan apa-apa rombakan dalam parti.
Sebaliknya, pertemuan itu diadakan bagi memperkukuhkan parti selain memberi sokongan kepada Muhyiddin.

Sebelum ini, media melaporkan tular sebuah draf dokumen dalaman bertarikh 10 November 2025 yang didakwa sebagai surat sulit kepimpinan Bersatu mencadangkan tindakan segera diambil bagi mendamaikan dan memulihkan kesejahteraan parti.
Dokumen tanpa kepala surat rasmi itu turut menyarankan agar Radzi menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.
Sebelum pertemuan malam tadi, seramai 16 Ahli Parlimen Bersatu telah menandatangani sepucuk surat bertarikh 23 Oktober lalu yang diserahkan kepada Muhyiddin bagi menyatakan kebimbangan serius terhadap polemik dalaman parti.
Surat itu menegaskan bahawa pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal, adalah langkah yang tidak bijak.
Mereka juga berpendapat hukuman tersebut tidak kena pada masanya dan boleh mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan Perikatan Nasional oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Selain itu, mereka menentang keputusan parti memanggil Hamzah ke Lembaga Disiplin kerana dianggap tidak masuk akal.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, salah seorang yang menandatangani surat itu, mengesahkan bahawa dokumen berkenaan telah dihantarnya sendiri kepada Muhyiddin di Parlimen pada 27 Oktober lalu. – MalaysiaGazette
















