Amrin Awaluddin

KUALA LUMPUR – Agihan wakalah bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025 berjumlah RM239 juta.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat , Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, jumlah itu meningkat 32 peratus berbanding agihan dalam tempoh sama pada tahun 2024.

“Skim Wakalah ini bukan sekadar mekanisma pengagihan zakat, ia juga membuka ruang kepada setiap pembayar zakat untuk turut serta dalam memastikan dana zakat mereka sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Ianya secara tidak langsung membina kesedaran sosial dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat,” katanya pada Majlis Perasmian Wakalah Talk 2025 dan pelancaran MyWakalah 2.0 yang berlangsung di Wyndham Grand Bangsar, hari ini.

Program Wakalah Talk 2025 menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada individu, majikan, syarikat dan institusi pengajian tinggi bagi memahami konsep, tatacara dan garis panduan agihan wakalah, selain menekankan kepentingan laporan yang telus dan berakauntabiliti.

Pada majlis berkenaan, PPZ-MAIWP turut memperkenalkan MyWakalah 2.0, versi terkini aplikasi digital yang berfungsi sebagai pusat hentian utama untuk menguruskan permohonan, agihan dan semakan wakalah.

Amrin berkata, penambahbaikan itu memudahkan pengurusan wakalah secara digital melalui sistem pintar yang berintegrasi dengan pangkalan data dalaman PPZ-MAIWP.

“Semua transaksi, laporan dan data wakalah kini dapat diakses secara telus dan tepat. Urusan wakalah lebih efisien dan berintegriti,” katanya.

Pada majlis itu, Amrin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta Wakalah Talk selain melancarkan simbolik penyerahan Kad Setia Pusrawi kepada penerima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast