KUALA LUMPUR – Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 19 tong petrol dan 15 tong diesel bersubsidi ke negara jiran dalam satu operasi berhampiran Pulau Ketam, Perlis pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, bot ronda Maritim Malaysia menerima maklumat risikan sebelum mengesan dua sampan kayu tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di lokasi 0.05 hingga 0.07 batu nautika dari selatan pulau itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua sampan tersebut telah ditinggalkan dan dipercayai berpengkalan di Pulau Ketam,” katanya.
Pemeriksaan lanjut menemui lebih 570 liter petrol (19 tong) dan 450 liter diesel (15 tong, 30 liter setiap tong), menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM40,000, ujarnya.
Menurut Nak Rong, kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau membawa keluar bahan api bersubsidi tanpa permit.
“Rampasan ini membuktikan komitmen Maritim Malaysia dalam membanteras penyeludupan bahan api yang menjejaskan hasil negara,” katanya.
Maritim Malaysia turut meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan atau kecemasan maritim kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 atau talian 999. – MalaysiaGazette















