KUALA LUMPUR – Dua gadis dilaporkan hilang di Cameron Highlands, Pahang pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, pihaknya menerima kedua-dua laporan itu pada 18 November 2025 selepas keluarga gagal mengesan keberadaan mereka.
Kes pertama melibatkan Nur Damia Qaisyara Mohamad Sayuti, 14, kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang hitam, berseluar dan berkasut hitam serta membawa beg galas hitam.
Sementara itu, kes kedua membabitkan Nurul Syuhada Mohd Faizal, 15, dilaporkan hilang dengan pakaian terakhir berupa baju lengan panjang hijau hitam, berseluar, tudung putih dan beg galas hitam.
“Kedua- dua mangsa dilaporkan hilang di Blok F Puncak Arabella, Tanah Rata” katanya dalam kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.
Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi pegawai penyiasat Nur Damia melalui talian 012-5810798 dan pegawai penyiasat Nurul Syuhada di talian 017-9175334.
Maklumat juga boleh disalurkan terus ke Pusat Kawalan Daerah Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis Cameron Highlands menegaskan bahawa kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu usaha menjejaki kedua-dua remaja tersebut secepat mungkin. – Malaysiagazette















