Gunung Semeru telah mula meletus. Pada masa ini kawasan abu meliputi sehingga FL540 (54,000 kaki/16,500 meter). foto Global Disasters News

SURABAYA – Sebuah gunung berapi di pulau utama Indonesia, Jawa, meletus pada hari Rabu, melontarkan abu dan gas sejauh beberapa kilometer ke langit dan memaksa pegawai menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.

Gunung Semeru di timur Jawa, kira-kira 310 kilometer di barat pusat pelancongan Bali, meletus pada jam 2.13 petang waktu tempatan (0713 GMT), memuntahkan aliran piroklastik, kata Ketua Agensi Geologi Indonesia, Muhammad Wafid.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terlibat dalam aktiviti dalam radius 8 kilometer (5 batu) dari kawah atau puncak Gunung Semeru kerana risiko batu-batu yang tercampak,” katanya dalam satu kenyataan.

Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia berkata, kepulan abu telah naik sejauh 13 kilometer (lapan batu) ke udara.

Sekurang-kurangnya 300 penduduk kampung yang tinggal berhampiran gunung berapi itu telah dipindahkan ke dua tempat perlindungan sementara.

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Namun, agensi geologi itu juga berkata, aktiviti seismik di Gunung Semeru kekal tinggi.

Pihak berkuasa di lapangan terbang Ngurah Rai di Bali berkata, jadual penerbangan beroperasi seperti biasa setakat ini.

Letusan Semeru pada tahun 2021 telah mengorbankan lebih 50 orang dan merosakkan lebih 5,000 rumah, memaksa hampir 10,000 orang mencari perlindungan.

Indonesia terletak di “Lingkaran Api” Pasifik, yang menyebabkan aktiviti gunung berapi dan seismik yang besar.

Kepulauan Asia Tenggara mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast