KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menggalakkan sistem ladang tertutup berteknologi tinggi bagi memastikan kadar sara diri dan keselamatan makanan di negara ini terus terjamin.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara inisiatif yang diambil dengan memperluaskan galakan cukai sehingga 31 Disember 2027 untuk membantu penternak beralih kepada sistem yang lebih moden.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar pula sentiasa memberi bimbingan teknikal dan memastikan amalan biosekuriti dipatuhi.
“Model ternakan moden seperti Modern Pig Farming (MPF) dan Pig Farming Area (PFA) di Simunjan, Sarawak dan Tongod, Sabah menjadi contoh bagaimana industri ini boleh ditransformasi dengan lebih bersih, mampan dan selamat,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN- Kuantan) mengenai perancangan kementerian ke atas penternakan khinzir secara tertutup dan moden.
Mengenai isu jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tanjung Piai, Johor, Mohamad menjelaskan, terdapat tiga jeti yang digunakan oleh 118 orang nelayan, semuanya diurus secara telus oleh Persatuan Nelayan Kawasan.
















