Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang kemalangan di Jalan Ungku Abdul Aziz, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Ungku Abdul Aziz, Bandar Penawar di sini hari ini.

Kejadian berhampiran Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu mengakibatkan mangsa, Mohamad Nor Arif Ali yang berusia 32 tahun maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 6.40 petang melibatkan motosikal jenis Modenas Kriss dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50.

“Kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa telah hilang kawalan dan masuk ke laluan SUV tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun.

“Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan manakala pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.

Tambahnya, ini termasuk boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh hingga lima tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast