Gambar kemalangan ihsan IPD Lipis

KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di kilometer 8, Jalan Lipis-Benta di Kampung Penjom, Lipis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu melibatkan sebuah motosikal jenis Demak SS, Yamaha Y15 dan sebuah lori treler.

“Hasil siasatan awal mendapati, penunggang motosikal Demas SS dari arah Lipis ke Raub hendak pulang ke rumah, manakala penunggang motosikal Yamaha Y15 dari Cheras menuju ke Kampung Bapong, Kuala Lipis.

“Lori treler pula dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Pelabuhan Klang membawa muatan getah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pabila sampai di lokasi kejadian, kedua-dua penunggang motosikal dipercayai bertembung secara berhadapan di tengah jalan.

Susulan pelanggaran itu, katanya penunggang motosikal Demak SS telah tercampak daripada motosikalnya di atas jalan raya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa, Syaiful Hasrin Sallehudin, 43 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Lori treler terbabit pula sempat mengelak daripada melanggar mangsa, namun tidak dapat mengelak daripada melanggar motosikalnya,” Tambahnya.

Sementara itu, Ismail berkata, penunggang motosikal Yamaha Y15 mengalami kecederaan patah kaki dan peha sebelah kanan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan beliau menyeru saksi kejadian agar tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast