Fadhlina Sidek hadir Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat Madani Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Lebih 900 sekolah di seluruh negara kini menerima perhatian melalui Program Sekolah Angkat Madani untuk mengurangkan jurang pendidikan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sembilan sekolah berada di Seberang Perai Selatan (SPS) kerana potensi mereka untuk menjadi model pembangunan komuniti setempat, terutama dalam memperkukuh aktiviti akademik dan kokurikulum.

“Program itu memberi manfaat besar kepada sekolah, termasuk menyediakan kemudahan teknologi yang membolehkan dasar pendidikan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Program Sekolah Angkat Madani ini memberikan impak yang besar di mana sekolah-sekolah ini walaupun kecil tetapi telah mendapat manfaat yang cukup besar,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Fadhlina merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat Madani  Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini, hari ini.

Peluncuran majlis dilakukan Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Tambah Fadhlina, kemudahan ICT yang disediakan di semua kelas membolehkan pelaksanaan program pendidikan digital dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di sekolah.

“Saya fikir ini antara sekolah yang cukup bertuah kerana semua kelasnya telah pun dilengkapi dengan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang membolehkan program dan dasar pendidikan kita dilaksanakan dengan jayanya.

“Ia antara inisiatif yang cukup besar untuk kita jayakan dalam konteks teknologi AI dan juga pendidikan digital. Ini adalah hasrat besar kerajaan Madani untuk melihat Program Sekolah Angkat Madani ini benar-benar diberikan tumpuan dan menjadi sebahagian daripada agenda besar pendidikan negara,”katanya.

Sementara itu, Ahmad Jailani berkata, setiap sekolah menerima RM100,000 untuk membiayai penambahbaikan infrastruktur, pembelian aset pendidikan, program keceriaan sekolah dan perkhidmatan sosial.

“Ini termasuk menaik taraf makmal komputer, bilik mesyuarat, dewan sekolah, perolehan peralatan ICT seperti papan pintar, televisyen pintar, tablet, set dron, set robotik dan lain-lain,” katanya.

Sekolah terpilih seperti SK Sungai Bakap dan SMK Tun Syed Sheh Barakbah bakal menjadi contoh bagi pembangunan komuniti melalui pendidikan yang lebih berkualiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast